AKTIVITI BAHASA


Oleh  A. Halim Ali
Penyair dikatakan mempunyai lesen puitikanya (licentia poetica) dalam kerja seni. Oleh sebab itu, penyair memiliki keistimewaan daripada mematuhi rukun tatabahasa dalam menyampaikan idea dan pemikiran dalam bentuk bahasa yang estetik. Namun begitu menurut Nik Safiah Karim, meskipun penyair mempunyai kebebasan puitika, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar rukun tatabahasa. Perkara ini diakui oleh banyak penyair dan penyair percaya bahawa mereka tidak memiliki kebebasan mutlak terhadap penggunaan bahasa.
Pernyataan ini memberikan gambaran bahawa sajak haruslah dibina dengan gaya dan rukun bahasa yang betul dan bersesuaian. Sebagai tambahan, sajak juga bukan semata-mata muatan perasaan atau landskap hiasan bunga-bunga bahasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyajak tidak mudah terlepas daripada penyalahgunaan lesen puitika ini dalam berkarya. Hal ini boleh terjadi sekiranya penyajak dipengaruhi secara berlebihan dalam aspek penggunaan gaya bahasa, pelanggaran aspek tatabahasa yang keterlaluan dan sebenarnya tidak sukar untuk mengesan penyalahgunaan lesen puitika ini dalam sajak.
Dalam ulasan kali ini, dua aspek bahasa, iaitu rukun tatabahasa dan gaya denotatif diteliti bagi menunjukkan sejauh mana kepekaan para penyajak terhadap aspek tatabahasa dan cara menyampaikan maksud yang bersesuaian. Perhatikan sajak “Pusara Bahasa” oleh Nurul Farhana Ahmad Sukre. Judul sajak menampakkan unsur kematian yang disebut secara metafora. Walau bagaimanapun, apabila dihalusi, sajak ini pertanyaan yang bertujuan untuk mengejutkan “orang-orang Melayu” tentang nasib bahasanya. Rangkai kata yang mengandungi frasa pertanyaan perlu diletakkan tanda soal (?). Perhatikan rangkai kata “Adakah kita sedar sekarang” (b.1) yang tidak disertakan dengan tanda soal (?). Tanpa tanda ?, makna ia tidak memberikan kesan untuk “mengejutkan kesedaran”, malah dari sudut rukun tatabahasa ia salah.
___
Ulasan sajak ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang